.
 

Press Release
- 11 Oktober, 2001

KPUn's e-Marketplace portal dilancar

Johor Bharu, 11 Oktober 2001 - Kementerian Pembangunan Usahawan dengan usaha sama Syarikat Telekom Malaysia Berhad (STMB) hari ini melancarkan 'KPUn's e-Marketplace portal' bagi membolehkan perniagaan antara sy arikat induk dan vendor dijalankan secara dalam talian.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, melalui portal niaga tersebut, syarikat vendor, syarikat induk tempatan dan antarabangsa boleh melakukan transaksi perdagangan melalui internet.

"Disamping itu, pembayaran bagi transaksi perdagangan tersebut juga boleh diuruskan melalui portal ini dengan kerjasama bank dan institusi kewangan," katanya ketika berucap sebelum melancarkan KPUn's e-Marketplace portal di Hotel Pan Pacific di sini, hari ini.

Turut menyaksikan pelancaran portal itu ialah Ketua Eksekutif, Syarikat Telekom Malaysia Berhad, Datuk Dr. Md. Khir Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Abdul Rahman Husin.

Dengan pelancaran portal itu, kata Mohamed Nazri, ia merupakan petanda bermulanya era baru lebuh raya elektronik Program Pembangunan Vendor dibawah kementerian tersebut.

Sementara itu, ketua pegawai Operasi Telekom Multimedia, Baharum Salleh berkata, berdasarkan kehendak dan keperluan pasaran, TM Multimedia telah mengesyorkan pembangunan P2P e-tempat niaga yang ditawarkan oleh Netmyne.

Katanya, P2P e-Marketplace adalah berkonsepkan model perkhidmatan aplikasi yang dicadangkan kepada Kementrian Pembangunan Usahawan.

"KPUn's e-Marketplace portal merupakan P2P e-Marketplace yang komprehensif terdiri daripada e-perolehan, e-pembayaran dan e-penghantaran," katanya.

Kata beliau portal niaga tersebut memainkan peranan sebagai pintu masuk untuk peserta, pusat informasi untuk masyarakat memperoleh maklumat mengenai program pembangunan vendor, pusat penghantaran laporan daripada syarikat induk dan institusi kewangan untuk tujuan pemantauan oleh KPUn.

Beliau menambah, P2P e-Marketplace yang ditawarkan oleh netmyne berfungsi mengintegrasikan semua peringkat perolehan, bermula dengan proses layaran, pesanan sehingga ke proses pembayaran penghantaran.

"Sejajar dengan aspirasi negara untuk memajukan K-Ekonomi, P2P e-Marketplace merupakan satu penyelesaian total perniagaan yang bertindak sebagai pemangkin kepada pertumbuhan pesat e-dagang,"katanya.

Katanya, walaupun buat masa kini kesedaran dan tahap penggunaan masih belum memberangsangkan, dalam tempoh dua tahun terdekat, pasaran elektronik ini berpotansi tinggi untuk berkembang secara drastik ekoran daripada penggunaan pesat dan pergantungan perniagaan kepada e-dagang di seluruh dunia.

"Terkini, hanya Netmyne sahaja yang menawarkan P2P e-Marketplace secara total dengan pakej yang komprehensif dengan sokongan TMnet dan kemudahan infrastruktur Telekom Malaysia Berhad," katanya.